5 Sebab Pengurusan Kewangan Yang Tidak Terurus - Bhg. 1


Pada tahun 2007, ramai yang menghadapi masalah kewangan. Tidak hairan, sebab tahun itu kita mengalami gangguan ekonomi. Apa yang menghairankan, mereka yang diisytiharkan muflis itu termasuk para eksekutif. Lebih menghairankan lagi, eksekutif itu yang baru sahaja berusia 30an. Bukannya pendapatan mereka sedikit tapi terdapat masalah di dalam cara mereka mengatur pendapatan yang diperolehi itu. Perkara ini turut membimbangkan kita dan sebolehnya kita tidak mahu menerima nasib yang serupa.

Jadi pada artikel ini kita akan cuba melihat dan menghalusi satu persatu faktor yang menjadikan situasi kewangan tidak teratur. Bukan maksud saya anda mengabaikannya. Tidak. Tapi ia agak berserabut dan sedikit kucar kacir. Mudah-mudahan selepas mengetahuinya kita akan lebih faham dan cuba menghindari. Ada banyak lagi sebab-sebab lain di luar sana, tetapi ruang kita agak terbatas untuk mencakupi kesemuanya.

-Tidak pernah merancang-
Pernahkah anda sampai di suatu destinasi secara tiba-tiba? Tanpa pengetahuan dan tanpa perancangan anda sebelumnya? Melainkan anda diculik, seharusnya anda sudah merancangnya awal-awal lagi bukan.

Biarpun hanya untuk pergi membeli belah atau membasuh kereta. Anda sudah memikirkan dan seterusnya bergerak ke destinasi tersebut. Kalau situasi kewangan anda tidak pernah anda rancang bagaimana? Sudah sepatutnya ia seperti keadaan sekarang ini. Tunggang langgang dan tidak kemana-mana. Memang logiklah ianya tiada pergerakan. Maksud saya dengan merancang itu ialah mengarah, menentu dan menjalankan usaha ke destinasi akhir kewangan anda. Merancang perjalanan kewangan anda.

Apakah tujuan kita merancang kewangan? Tujuannya ialah untuk memastikan anda sekeluarga dapat hidup gembira tanpa masalah yang membelenggu seperti kesempitan wang atau ditindih runtuhan hutang yang besar. Pengurusan penggunaan wang yang tidak teratur boleh mengakibatkan krisis ekonomi peribadi yang pasti menekan hidup.

-Tiada matlamat kewangan-
Matlamat berkait rapat dengan cita-cita. Matlamat juga amat mempengaruhi hasil. Matlamat yang tinggi, hasil pun tinggi. Matlamat yang sedikit, hasil tentulah sedikit. Kalau anda tiada matlamat kewangan langsung, saya takut langsung tiada hasilnya pula. Harap-harap itu tidak terjadi. Jadi tetapkanlah matlamat kewangan anda. Mahu matlamat yang bagaimana? Terpulanglah pada keselesaan anda. Misalnya hidup tanpa sebarang hutang menjelang usia 35 tahun atau mempunyai wang sebanyak setengah juta dalam masa 5 tahun akan datang. Lebih terperinci mengenai menetapkan matlamat ini, anda boleh rujuk artikel terdahulu saya yang bertajuk ‘teka teki bakal jutawan’.

-Tidak mahu belajar-
Tidak terkira ramainya yang mahu menjadi jutawan atau sekurang-kurangnya bebas daripada masalah kewangan. Mereka
mahukannya. Sungguh-sungguh mahu, tapi tidak mahu mempelajari bagaimana menjadikannya kenyataan. Tidak mahu membaca buku, artikal, bahan audio atau multimedia. Malas belajar. Mereka juga tidak mahu membayar yuran seminar, ceramah, perbincangan, forum dan seperti itu. Mereka hanya mahukan bahan yang percuma sahaja. Sudah pasti ia tidak salah. Hanya sahaja kualiti amat kerap didapati melibatkan kos. Bahan yang percuma pada kebiasaanya (tapi tidak semua) hanya memberitahu perkara yang mudah dan kurang bernilai. Kebanyakkan daripadanya sudah sedia anda dan saya ketahui terlebih dahulu.

Mereka juga tidak mahu belajar daripada kesilapan. Mereka ingat kegagalan itu hanyalah perkara yang negatif dan harus dilupakan. Kalau mereka melupakan kesalahan itu, pasti pada lain kali mereka akan melakukannya lagi! Sebab mereka lupa faktor penyebabnya. Pernahkah anda kaji atau pelajari sebab wang anda sering tidak cukup? Kalau pernah, kenapa anda lakukan perkara yang sama lagi dan lagi..?

------------------------------------

Lagi 2 sebab akan bersambung di bahagian yang ke-2...tunggu~!!!

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca