Kenapa Usaha Berjimat Selalu Gagal? - Bhg. 1


(dipetik dari Razif Yusof)

1) Anda tidak betul-betul faham kenapa perlu berjimat

Penjimatan itu penting jika anda fikir-fikirkan. Semangat untuk berjimat anda memang tinggi namun anda juga tidak faham kenapa anda perlu berjimat. Bagi saya, saya akan melakukan penjimatan atas beberapa sebab.

Pertama, bagi menambah jumlah tabungan simpanan. Simpanan ini penting kerana bukan sahaja boleh digunakan untuk hari kemudian malah jika berlaku apa-apa kecemasan dalam kehidupan, simpanan inilah yang akan membantu. AKPK menasihatkan supaya mempunyai sekurang-kurangnya simpanan sebanyak 6 bulan perbelanjaan bagi menghadapi saat kecemasan.

Kedua, kumpul wang untuk memperolehi sesuatu. Contohnya katakan pada bulan Disember setiap tahun anda bercadang untuk membawa keluarga anda pergi bercuti. Jadi dari awal tahun bulan Januari anda mengambil langkah penjimatan sedikit demi sedikit sehinggalah saat anda pergi bercuti.

Ketiga, dari wang penjimatan tersebut anda mampu melakukan pelaburan sedikit demi sedikit. Ianya bukan setakat boleh menambah pelaburan ASB anda malah pelaburan untuk diri anda dengan mempelajari ilmu-ilmu menjana wang melalui buku-buku mahupun bengkel-bengkel.

Ini adalah antara tiga sebab utama namun terdapat juga sebab-sebab lain yang boleh anda fikirkan atas kenapa anda berjimat.


2) Tidak mempunyai matlamat

Setiap perkara yang ingin dilakukan dalam kehidupan ini harus ada matlamat jika tidak usaha atas perkara tersebut tidak akan kemana-mana dan jadi sia-sia. Begitu juga dengan usaha penjimatan anda. Anda harus ada matlamat namun matlamat anda harus realistik. Maksudnya katakan pendapatan bulanan anda RM2000.00 dan anda ingin membuat penjimatan sebanyak RM1500.00 sebulan maka ini sudah tentu tidak munasabah. Ya anda tidak boleh jadi kaya dengan berjimat namun berjimat mampu membantu menenangkan hati anda ketika anda memerlukan bantuan.

Jika anda lihat semula kenapa anda berjimat maka anda akan ada matlamat penjimatan anda. Dengan matlamat anda akan ada perancangan anda untuk berjimat. Berapa jumlah yang perlu anda jimat (secara realistik)? Berapa lama untuk mendapatkan nilai penjimatan tersebut? Catatkan apa matlamat penjimatan anda dan buat perancangan untuk mencapai matlamat tersebut. Ingat matlamat anda harus realistik dimana anda harus lihat jumlah pendapatan anda sendiri.


3) Kebanyakkan tip penjimatan yang anda ketahui tidak munasabah

Walaupun anda telah faham atas sebab apa anda perlu berjimat, dan anda telah memasang matlamat anda namun anda masih mempunyai masalah dalam perlaksanaan penjimatan anda. Kebanyakkan ilmu serta tip penjimatan adalah sesuatu yang tidak realisitik untuk anda lakukan. Saya pasti jika saya beritahu anda saya ada beberapa tip bagaimana anda boleh menjimatkan wang sudah tentu anda akan beritahu saya, "Ala… aku dah beli dah macam-macam buku pasal jimat wang ni… tak de satu pun yang boleh pakai. Ada ke buku tu suruh aku jangan pergi sana, jangan pergi sini, jangan beli itu dan jangan beli ini. Tak kan aku dan keluarga aku terpaksa terperap di rumah sahaja dan tak boleh beli apa-apa. Realistik lah sikit…."

Bila difikir balik betul juga kata-kata tersebut. Contohnya pergi bercuti bersama keluarga, ini adalah aktiviti yang penting untuk dilakukan. Disamping mampu mengeratkan perhubungan kekeluargaan ia juga mampu mengembalikan semangat dan kecergasan badan dan minda untuk bekerja dengan lebih baik lagi. Oleh itu tanpa teknik-teknik yang munasabah untuk dilakukan segala matlamat dan usaha akan jadi sia-sia juga.

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca