Kamu Sembah Siapa?


(dipetik dari LangitIlahi.com)

Siapakah yang kita sembah?

Allah atau Ramadhan?

Sebahagian orang mungkin akan kata kepada saya:

“Ala, ok la tu, dari tak beramal langsung. At least masa Ramadhan jadi baik”

Ada pula yang kata pada saya:

“Masa Ramadhan ni, Allah bagi pahala banyak-banyak, so boleh la tampung dosa aku nak buat 11 bulan lagi”

Saya juga pernah dengar orang kata:

“Ala, nanti Ramadhan sekali lagi, taubat la”

Adakah benar, kebaikan, ketaatan, dan segala perkara yang Allah suruh, kehidupan Islam dan sebagainya, tempatnya hanya di dalam Ramadhan? Benarkah fungsi Ramadhan itu, adalah demikian? Tempat orang beramal sebagai bekal untuk buat banyak dosa lagi 11 bulan?

Sebenarnya, Ramadhan adalah makhluk Allah SWT juga. Dia adalah hadiah daripada Allah SWT untuk kita.

Kita tidak beramal bersungguh-sungguh kerana bulan ini adalah bulan Ramadhan. Setiap masa seorang mu’min itu perlu bersungguh-sungguh. Tetapi, kita lebih bersungguh-sungguh, kerana Allah telah mengwar-warkan waktu, masa, tarikh tertentu dengan menghamburkan segala rahmat, maghfirah, kasih sayang-Nya pada waktu itu. Dan waktu itu adalah Ramadhan.

“Barangsiapa yang mendirikan Ramadhan, penuh keimanan dan berkira-kira(bersungguh-sungguh) maka Allah ampunkan untuknya dosanya yang terdahulu”

Ramadhan, adalah peluang. Tetapi, Ramadhan bukanlah Ilah. Tanpa Ramadhan, kita berhenti taat. Tanpa Ramadhan, kita berhenti beramal.

“Ala, aku dah sungguh-sungguh masa Ramadhan. Cukup la tu. Pahala banyak”

Ya kah? Maka ketahuilah bahawa, anda tidak mendapat apa-apa.

Berjaya atau tidak Ramadhan kita, hanya mampu kita lihat dengan perjalanan 11 bulan kita yang seterusnya. Hadiah Ramadhan adalah taqwa. Bekalan hidup terbaik adalah taqwa. Sekiranya kita mampu meneruskan ‘musafir’ kita atas kehidupan ini 11 bulan lagi, seterusnya bertemu semula Ramadhan, dalam keadaan kita terus taat dan bersungguh-sungguh memenuhi tanggungjawab kita sebagai hamba Allah, maka ketika itu barulah kita boleh katakan bahawa:

“Alhamdulillah, Ramadhan ana yang lalu telah berjaya”

Saya tidak nampak, yang Ramadhan ini lebih dari alat. Yakni alat untuk kita tingkatkan diri kita. Ramadhan adalah wasilah, yakni jalan, yang membantu kita untuk lebih taat kepada Allah SWT. Ramadhan adalah catalyst, pemangkin yang membangkitkan kembali perasaan kita yang telah mati ditikam kerosakan-kerosakan dalam kehidupan. Ramadhan adalah ubat, yang menyembuhkan kembali hati kita, yang telah tercedera dicalar-calarkan oleh pisau suasana pada bulan-bulan lain.

Tetapi Ramadhan bukan tuhan kita. Kita tidak beribadah kerana Ramadhan.

Ramadhan hanya sebulan dalam setahun. Hanya 40 kali dalam 40 tahun hidup kita. Tetapi kita mempunyai 11 lagi bulan ‘biasa’ dalam setahun. Bulan-bulan ‘biasa’ ini ada 440 kali dalam 40 tahun hidup kita untuk dilalui. Dan tiada Ramadhan dalam bulan-bulan yang lain. Tetapi, kita WAJIB taat pada Allah, tunduk pada perintahnya, setiap masa, setiap saat, dalam kehidupan kita, dalam 11 bulan yang lain, dalam 440 bulan sepanjang 40 tahun kehidupan kita(kalau 40 tahun, kalau hidup 60-70 tahun, berapa kah bulan biasa kita lalui?).

Ramadhan kita lihat akan pergi. Selepas 30 hari, dia menghilang. Tetapi Allah, Allah hidup dan tak akan mati, Allah sentiasa ada dan tidak akan pergi.

“Allah, tiada tuhan selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Terus Menerus Mengurus (makhluk-Nya), Tidak mengantuk dan tidak pula tidur. Miliknya apa yang ada di langit dan bumi…” Surah Al-Baqarah ayat 255.

Kalau kita tumpahkan ketaatan kita hanya kerana wujudnya Ramadhan, maka sesungguhnya, kita telah menjadi hamba kepada hadiah Allah SWT kepada kita. Bukannya hamba kepada Allah SWT yang memberikan hadiah Ramadhan kepada kita.

Jika perkara ini berlaku, ternyata sebenarnya, kita telah mensia-siakan hadiah Allah SWT, Ramadhan yang besar ini. Tidak tercapai, maksud kewujudan Ramadhan, agar insan berjaya mewujudkan ketaqwaan di dalam kehidupan mereka, agar kehidupan mereka seterusnya menjadi lebih baik dan lebih dekat dengan Allah SWT.

Di sinilah saya melihat, insan perlu duduk dan bermuhasabah.

Apakah maknanya kita gelar Ramadhan ini dengan pelbagai gelaran seperti ‘bulan perubahan’, ‘bulan orang beriman’, ‘bulan ujian meraih ijazah ketaqwaan’ dan berpuluh-puluh lagi gelaran yang anda boleh lihat dalam TV, dalam akhbar, dalam blog-blog orang, tetapi kita tidak mampu mencapai tujuan sebenar kewujudan Ramadhan, makhluk Allah, hadiah daripada Allah ini? Yakni tujuannya agar kita mampu mencapai ketaqwaan agar kita mampu menjadi hamba Allah SWT yang sebenarnya.

Mana perubahan kita? Berubah hanya untuk sebulan ini sahaja? Itu bukan perubahan namanya.

Mana keimanan kita? Beriman hanya sebulan ini sahaja? Itu bukan keimanan namanya.

Ujian meraih ketaqwaan? Kayu ukur mendapat taqwa itu dengan apa? Sungguh-sungguh beramal sebulan ini kemudian tinggal? Kemudian tidak tertingkat? Itu bukan taqwa namanya.

Marilah kita duduk sebentar.

Siapa yang kita sembah sebenarnya?

Ramadhan, atau Allah SWT yang menghadiahkan Ramadhan ini kepada kita.

1 komen:

Catat Ulasan

Apa komen anda tentang artikel di atas?

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca