Dividen AS1M 6.35 Sen Seunit Bagi Tahun 2010


Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan jumlah agihan pendapatan AS1M di Kuala Lumpur, semalam. - Gambar ihsan PNB
KUALA LUMPUR 23 Sept. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan agihan pendapatan kali pertama Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) sebanyak 6.38 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2010.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM204.67 juta kepada 259,162 pemegang unit AS1M.

Setakat ini sebanyak 4.02 bilion unit AS1M telah dilanggan daripada 10 bilion unit yang ditawarkan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sulung bagi mengumumkan agihan pendapatan bagi AS1M di Menara PNB di sini hari ini.

Menurut beliau, sehingga 21 September lalu, tabung AS1M telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM294.05 juta.

Keuntungan daripada penjualan saham syarikat-syarikat menyumbang RM165.47 juta atau 56.3 peratus, pendapatan dividen dan syarikat-syarikat pelaburan pula sebanyak RM99.80 juta.

Bakinya sebanyak RM28.78 juta diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Sementara itu, pada sidang akhbar berasingan, Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, berdasarkan prestasi pasaran semasa, agihan pendapatan bagi AS1M adalah sebanyak lapan sen seunit.

Bagaimanapun, seperti biasa, lebih satu sen daripada setiap unit itu dirizab untuk memastikan para pelabur terus menikmati agihan pendapatan kompetitif pada tahun depan.

''Sebanyak RM50 juta daripada baki agihan pendapatan AS1M telah kita bawa ke hadapan untuk 2011,'' katanya.

Mengulas agihan pendapatan itu, Hamad Kama Piah berkata, AS1M menawarkan ganjaran berdasarkan penanda aras Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) lima tahun.

''Dan, kalau mengambil perkiraan purata lima tahun itu agihan pendapatan bagi unit amanah ini adalah 3.65 sen tetapi PNB memberi 6.38 sen, sekali gus menyaksikan ia melebihi daripada prestasi pasaran,'' ujar beliau.

Pengiraan pengagihan pendapatan itu dibuat berdasarkan purata baki terendah bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan AS1M iaitu mulai 5 Ogos 2009 sehingga 30 September 2010.

Pengagihan itu akan dikreditkan secara automatik ke dalam buku pelaburan pemegang unit pada 1 Oktober 2010.

Semua urus niaga bagi AS1M telah ditangguhkan mulai 29 September ini sehingga 30 September 2010 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

(sumber berita: Utusan)

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca