Dividen Amanah Saham Malaysia 6.38 Sen Seunit

Agihan ASM 6.38 sen – PNB

AHMAD Sarji Abdul Hamid (kiri) bersama Hamad Kama Piah Che Othman menunjukkan replika agihan pendapatan Amanah Saham Malaysia (ASM) selepas mengumumkan pengagihan pendapatan ASM di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 17 Mac – Permodalan Nasional Bhd. (PNB), mengumumkan pengagihan pendapatan lebih tinggi sebanyak 6.38 sen seunit untuk Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2011.

Pada tahun lalu, pelabur ASM menerima pulangan sebanyak 6.30 sen seunit.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, kadar pengagihan pendapatan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM757 juta, meningkat sebanyak 16 peratus berbanding RM625 juta yang dibayar pada tahun lalu.

Beliau berkata, selaras dengan objektif tabung serta situasi ekonomi dan pelaburan semasa, prestasi ASM sepanjang tahun adalah memuaskan.

“Setakat 15 Mac lalu, tabung ASM telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM909 juta. Dari jumlah itu RM407 juta atau 45 peratus disumbangkan oleh keuntungan penjualan saham dalam syarikat-syarikat.

“Manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM361 juta atau 40 peratus dan selebihnya sebanyak RM141 juta atau 15 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengumumkan agihan pendapatan ASM di sini hari ini. Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

ASM adalah dana ekuiti pendapatan berharga tetap yang bermatlamat memberi peluang kepada pemegang unit membuat pelaburan jangka panjang untuk menjana pelaburan kompetitif.

Tambah Ahmad Sarji, pengiraan pengagihan pendapatan ASM ini akan dibuat berdasarkan kepada purata baki terendah bulanan untuk tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan dana itu.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, jumlah keseluruhan agihan pendapatan ASM adalah sebanyak 7.7 sen seunit dengan baki sebanyak 1.32 sen akan dibawa ke hadapan.

‘‘Saiz dana ASM pada masa ini adalah sebanyak RM11.8 bilion,’’ jelasnya.

Pengagihan pendapatan ASM itu akan dilaksanakan menerusi pelaburan semula yang dikreditkan secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 April 2011.

Bagi tujuan pengiraan pendapatan ini, semua urus niaga bagi ASM di pejabat dan ejen-ejen ASNB, anak syarikat milik penuh PNB, akan ditangguhkan mulai 22 Mac 2011 sehingga 31 Mac 2011.

Para pemegang unit boleh mengemas kini buku masing-masing mulai 1 April 2011 apabila urusniaga di buka seperti biasa.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai pertengahan bulan Mei 2011.


Jangan lupa follow blog aku! Klik butang Follow di sebelah tu~!!

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca