Tindakan BNM Berkesan?

Assalamualaikum semua...

Adakah tindakan BNM mengenakan syarat 70% kadar pinjaman untuk rumah ketiga dan seterusnya telah menampakkan hasilnya?

Bagi aku la, ia cuma menyekat pelabur-pelabur kecil untuk terus melabur dalam industri hartanah. Dengan berkurangnya pelabur-pelabur kecil ini, pelabur-pelabur dalam bidang lain seperti saham akan berpindah ke bidang hartanah kerana saingannya telah berkurang.

Bagaimana nasib pelabur-pelabur kecil pulak? Mereka pula akan berpindah kepada pelaburan-pelaburan yang lebih kecil seperti ASB, AHB, emas dan lain-lain.

Hakikatnya, harga rumah akan tetap terus naik dan menaik, seperti yang aku cakap dalam entri sebelum ini. Faktor utama kenaikan harga rumah - kenaikan harga bahan & kekurangan tanah.

Apa kata korang?

------------------------------------------------------------------

Tindakan BNM berkesan?


Rumah menjadi semakin mudah dimiliki rakyat berikutan kurangnya berlaku spekulasi harga yang menyebabkan harga melonjak terlalu tinggi. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR 16 Mac - Tindakan bank pusat mengehadkan pembiayaan pembelian rumah kediaman untuk menyekat berlakunya spekulasi harga, ternyata membuahkan hasil, kata sebuah firma perunding hartanah.

Sebelum ini, pihak-pihak tertentu mudah mendapat pinjaman untuk membeli rumah pada kuantiti yang banyak sehingga 10 buah sebelum menjual semula untuk mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Dasar yang diperkenalkan Bank Negara Malaysia (BNM) telah berjaya mengurangkan permainan spekulasi harga oleh individu yang tidak bertanggungjawab, sekali gus mengawal kenaikan harga rumah pada tahun ini.

Menurut kajian firma berkenaan, C. H. Williams Talhar & Wong (WTW), kenaikan harga rumah tahun ini dijangka meningkat sedikit tetapi lebih lebih rendah berbanding kenaikan pada tahun lalu.

BNM, sebelum ini telah mengarahkan semua bank mengehadkan pinjaman perumahan untuk rumah ketiga kepada pembiayaan sebanyak 75 peratus sahaja daripada nilai pasaran mulai November tahun lalu.

Pengarah Urusan WTW, Foo Gee Jen berkata, kenaikan nilai rumah kediaman terutamanya kawasan utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru pada tahun ini, diramal sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding 15 hingga 25 peratus tahun lalu.

Katanya, kenaikan lebih perlahan tersebut disebabkan bilangan pemain spekulasi harga rumah semakin berkurangan selepas undang-undang baharu pinjaman perumahan dikuatkuasa.

''Kurangnya berlaku spekulasi harga telah menjadi nilai rumah tahun ini dijangka mampu dimiliki rakyat dan bilangannya juga kembali stabil,'' kata beliau hari ini pada sidang akhbar tentang tinjauan potensi nilai hartanah 2011, di sini.

Gee Jen juga berkata, persepsi terhadap kemungkinan berlakunya peningkatan harga hartanah secara keterlaluan atau gelembung aset tidak lama lagi oleh penganalisis hartanah telah menakutkan pembeli dan mengurangkan transaksi pembelian rumah.

''Menurut kajian kami, stok rumah kediaman pada tahun ini adalah stabil walaupun tidak banyak projek perumahan baharu dilancarkan kerana masih banyak yang gagal dijual di pasaran pada tahun lalu.

''Tindakan mengurangkan projek perumahan yang baharu ketika ini, sangat baik untuk memastikan nilai rumah kembali stabil,'' jelas beliau.

Gee Jen berkata, untuk mengetahui kenaikan harga rumah stabil setiap tahun atau tidak, peratusannya mestilah tidak melebihi tiga kali ganda nilai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.

Sementara itu, beliau berkata, sektor-sektor lain seperti perumahan jenis kondominium, hotel, pejabat dan peruncitan dijangka kekal kukuh tahun ini kesan pengumuman beberapa projek mega dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Gee Jen berkata, sebanyak 17 juta kaki persegi ruang pejabat dijangka ditawarkan sehingga tahun 2014 manakala sektor peruncitan dijangka menokok 2 juta kaki persegi setahun.

Katanya, kawasan segi tiga emas di Kuala Lumpur juga dijangka berkembang hampir empat kali ganda pada masa depan apabila projek seperti Menara Warisan, Greater KL, pembangunan Kampung Baru dan pembangunan tapak lapangan terbang Sungai Besi berjaya dilaksanakan.

Katanya lagi, Projek Transit Aliran Pantas (MRT) yang dijangka siap pada 2016 akan menjadikan Sungai Buloh sebagai bandar berpotensi besar untuk membangun pada masa depan.

''Selain bakal dihubungkan dengan MRT, hasrat kerajaan untuk meningkatkan tahap hubungan lebuh rayanya juga menjadi faktor penggalak kepada peningkatan nilai hartanah di sana,'' kata Gee Jen.


Jangan lupa follow blog aku! Klik butang Follow di sebelah tu~!!

1 komen:

Catat Ulasan

Apa komen anda tentang artikel di atas?

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca