Caj Perkhidmatan Prabayar Ditangguhkan

Assalamualaikum semua...

Syarikat telco akan tangguhkan perlaksanaan cukai pra bayar 6% buat sementara waktu.

Bagi aku, takde la seronok sangat sebab telco cuma tangguhkan je. Sampai masa, akan terlaksana jugak.

Yang peliknya, masa Bajet 2011 yang lepas, kerajaan announce cukai perkhidmatan naik 5% ke 6%. Boleh bukak balik teks ucapan, muka surat 20, point ke 51.

Ada agenda tersembunyi ke? Untuk meredakan kemarahan orang ramai sebelum PRU-13?

p/s: Teringat dialog cerita Madu Tiga - "Baik, baik ada makna tu..."
sumber: Utusan

Cukai 6 peratus ditangguh - Rais

cukai pendapatan, caj perkhidmatan

Dr. Rais Yatim (tengah) bermesyuarat dengan pengerusi syarikat-syarikat telekomunikasi Malaysia mengenai caj cukai sebanyak 6 peratus ke atas pengguna prabayar di Wisma Angkasapuri, Kuala Lumpur, semalam. - bernama



KUALA LUMPUR 12 Sept. - Cadangan pelaksanaan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus terhadap pengguna perkhidmatan talian telefon prabayar yang dijadual Khamis ini, ditangguhkan sehingga kajian mengenainya selesai. 

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, keputusan tersebut dicapai setelah kementeriannya mengadakan pertemuan bersama empat pengendali utama telekomunikasi di negara ini.

"Perundingan yang melibatkan pengurusan utama Celcom, Maxis, Digi dan U-Mobile itu berlangsung dalam suasana cukup baik dan kesemua mereka telah bersetuju untuk menangguhkannya dan tidak dilaksanakan seperti yang diumumkan sebelum ini.

"Mereka menerima baik nasihat kementerian, pandangan kerajaan serta sentimen yang dilahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut di Angkasapuri di sini hari ini.

Antara yang hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly; CEO Kumpulan Maxis, Sandip Das; CEO Kumpulan Digi, Henrik Clausen dan CEO U-Mobile, Dr. Kaizad Heerjee.

Menurut Rais, penangguhan itu dibuat bagi membolehkan kajian sama ada cukai tersebut akan dikenakan terhadap pengguna yang membeli pek permulaan talian prabayar atau mengenakannya setiap kali pengguna membuat tambah nilai kredit.

"Saya rasa lega apabila mereka bersetuju menangguhkannya dan kementerian akan membuat beberapa kajian tentang isu yang dibangkitkan seperti waktu terbaik bagi melaksanakan cukai perkhidmatan tersebut," katanya.

Menurutnya, kajian berhubung caj tersebut akan dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat komunikasi terlibat yang turut sama akan membincangkan kadar yang sepatutnya dikenakan.

"Jadi, isu-isu yang berbangkit ini akan saya bawa kepada mesyuarat Jemaah Menteri kelak untuk menghuraikan dengan lebih jelas berkenaan data dan fakta yang lengkap," katanya.

Rais berkata, beliau juga akan menyarankan kepada kerajaan untuk memberi penghargaan di atas sumbangan dan peranan yang dibuat syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut terhadap cukai perkhidmatan selama ini.

"Jumlah yang disumbang syarikat-syarikat itu terhadap cukai perkhidmatan amat besar dan boleh saya anggarkan jumlahnya bernilai hampir RM6 bilion bermula dari 1998 sehingga kini kepada hampir 26 juta pengguna talian prabayar di negara ini," katanya.

Justeru itu, Rais berharap isu cukai perkhidmatan tersebut tidak lagi dibangkitkan kerana syarikat telekomunikasi terbabit sudah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan caj tersebut.
Jangan lupa follow blog aku! Klik butang Follow di sebelah tu~!!

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca