Dividen AS1M 6.50 Sen Seunit Bagi Tahun 2011

Ahmad Sarji Abdul Hamid (kiri) dan Hamad Kama Piah Che Othman mempamerkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 22 Sept. - Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) sebanyak 6.50 sen seunit bagi tahun berakhir pada 30 September 2011, meningkat 0.12 sen daripada 6.38 sen seunit dalam tempoh yang sama tahun lalu.


Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengumuman itu akan menyaksikan pengagihan pendapatan sebanyak RM311.27 juta , meningkat 53.32 peratus daripada jumlah pengagihan sebelumnya.

Beliau berkata, pengagihan pendapatan itu adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan AS1M.

''Kadar agihan pendapatan AS1M adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan, terutama di dalam suasana ekonomi dan pasaran saham yang mencabar ini,'' katanya ketika mengumumkan agihan pendapatan AS1M di sini hari ini.

Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Tabung AS1M dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 5 Ogos 2009 lalu, merupakan dana berharga tetap yang dibuka kepada semua rakyat Malaysia.

Setakat 20 September lalu, sebanyak 5.49 bilion unit AS1M telah dilanggan oleh seramai 270,598 pemegang unit.

Dalam tempoh yang sama, jumlah unit pelaburan baharu bersih telah meningkat sebanyak 1.92 bilion unit atau 36.6 peratus.

Pada tahun ini, pembayaran pengagihan pendapatan tabung AS1M akan dilaksanakan melalui pelaburan semula yang akan dikreditkan secara automatik ke dalam para akaun pemegang unit pada 1 Oktober 2011.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan AS1M akan dihantar mulai pertengahan bulan November 2011.

Semua urusniaga bagi tabung AS1M di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB akan ditangguhkan mulai 21 September 2011 sehingga 2 Oktober 2011.

Para pemegang unit saham boleh mengemaskini buku pelaburan AS1M mulai 3 Oktober 2011.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, peruntukan AS1M untuk kaum Cina telah habis dilanggan manakala peruntukan kaum Melayu dan lain-lain masih dibuka.

Katanya, terdapat sebanyak 4.5 bilion unit saham AS1M masih belum dilanggan.

Ditanya sekiranya keadaan ekonomi global yang mencabar menjejaskan prestasi AS1M dan amanah saham yang lain, kata Hamad Kama Piah, PNB pernah melalui pelbagai keadaan seperti itu dan berjaya menanganinya dengan baik.

(sumber berita: Utusan)

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca