PR1MA - Lebih Banyak Rumah Akan Dibina


Tambah rumah mampu milik




NAJIB Tun Razak membuat cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Presint 11, Putrajaya, semalam. Turut hadir, (dari kiri) Abdul Mutalib Alias, Rosmah Mansor, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Jamaludin Jarjis. - MINGGUAN/ZAKI AMIRUDDIN


PUTRAJAYA 15 Okt. - Kerajaan bertekad memperbanyakkan lagi projek-projek perumahan mampu milik dalam tempoh terdekat setelah menunaikan janjinya hari ini dengan melakukan proses cabutan fasa pertama 560 unit pangsapuri Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Presint 11 di sini.

Menegaskan komitmen itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau menyedari peluang untuk membeli rumah khususnya oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana di sekitar Lembah Klang adalah kurang daripada 10 peratus.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan menunaikan kehendak golongan itu untuk memiliki rumah sendiri atau memegang hartanah bagi menyemaikan sense of ownerships (perasaan pemilikan) yang lebih erat kepada negara ini.

"Bagi yang tidak berjaya (dalam proses cabutan) hari ini, harap jangan putus asa. Ini (baru) permulaan dalam perjalanan kita untuk bangunkan lebih banyak lagi (rumah mampu milik) di seluruh negara.

"(Cuma) saya nak tanya di mana ada kerajaan yang boleh sediakan sebegini baik kepada rakyatnya, kalau tidak bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan, saya tak tahu apa nak kata... sampai tak terkata.

"Insya-Allah, rakyat Malaysia akan terus terbela di bawah kerajaan sedia ada," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pengundian Terbuka Pertama PR1MA untuk Rumah Mampu Milik di Presint 11 di sini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias.

Menurut Najib, beliau sendiri menyaksikan betapa pentingnya memberikan rakyat pertalian yang ada pada hartanah.

"Saya amat bertuah pada suatu ketika dahulu dapat mengikuti Allahyarham ayahanda saya (Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein) meninjau keadaan rakyat di rancangan tanah Felda.

"Saya dapat rasai betapa gembira dan komitednya rakyat yang telah diberi sebidang tanah dan sebuah rumah untuk memperbaiki keadaan kehidupan mereka, sehinggalah menjadi peneroka berjaya Felda sekarang," katanya.

Namun, kata Perdana Menteri, situasi sekarang semakin mencabar dengan tanah kosong yang sesuai untuk projek perumahan di kota raya terutama Lembah Klang dan bandar-bandar besar semakin berkurangan.

"Jika dalam era 90-an, rumah teres di Bandar Baru Bangi boleh dibeli dengan harga RM150,000 sebuah, (tetapi) pada hari ini untuk mendapat harga yang sama, kita perlu mencari di kawasan yang lebih jauh dari Kuala Lumpur.

"Di Lembah Klang, saya difahamkan harga purata rumah teres baru sekarang adalah RM450,000 sebuah dan pada harga tersebut, bayaran ansuran bulanan boleh mencecah sehingga RM3,000 selama 20 bulan," katanya.

Oleh sebab itu, kata Perdana Menteri, kerajaan menyarankan pihak pemaju supaya menurunkan harga rumah di Presint 11 kepada kadar yang mampu dibeli.

"Harga rumah mampu milik yang ditawarkan hari ini adalah RM120,000 dan RM150,000 (berbanding harga sepatutnya masing-masing RM175,000 dan RM220,000).

"Ini adalah hasil rundingan dan kerjasama baik serta usaha berterusan Ahli Parlimen Putrajaya (Tengku Adnan) dan agensi-agensi terlibat khususnya Perbadanan Putrajaya," katanya.

Jangan lupa follow blog aku! Klik butang Follow di sebelah tu~!!

1 komen:

Catat Ulasan

Apa komen anda tentang artikel di atas?

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca