Tabung Haji Umum Dividen 6%


Dividen Tabung Haji Untuk Tahun 2011

Assalamualaikum semua.

Alhamdulillah, ramai antara korang pasti tertunggu-tunggu berita tentang kadar dividen bagi pelaburan Tabung Haji. Rasanya, dividen sebanyak 6% untuk tahun 2011 adalah yang paling tinggi yang aku pernah dapat (kalau salah, tolong perbetulkan ye). Harap-harap kadar dividen ini akan terus meningkat di tahun-tahun yang mendatang.


Aku suka part nih:

Beliau (Jamil Khir) berkata kadar bonus pendeposit Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan pelaburan Tahung Haji terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah sahaja.

dan ini:

Jamil Khir berkata dana pendeposit terkumpul Tabung Haji turut meningkat pada kadar 17% tahun lepas kepada RM31.7 billion berbanding RM27.11 billion pada 2010.

Mungkin sikap umat Islam yang lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan yang halal & juga kesedaran mereka tentang pentingnya dalam mendapatkan rezeki yang halal, mendorong mereka untuk menambahkan tabungan & pelaburan mereka dalam Tabung Haji.

Alhamdulillah, aku bersyukur atas perkembangan yang berlaku ini dan diharapkan agar perkembangan ini tidak terhenti. Malahan, akan terus berterusan sehingga seluruh umat Islam bertukar kepada pelaburan yang berlandaskan syariah, Isha-Allah.

p.s: berdoa bersungguh-sungguh...
p.s.s: kan bagus kalau dapat keluarkan duit KWSP untuk dilaburkan ke Tabung Haji, sebagaimana pengeluaran untuk pelaburan unit amanah...

------------------------------------------------------------------------


Tabung Haji Umum Bonus 6 Peratus

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji Malaysia mengumumkan kadar bonus sebanyak 6% bagi tahun 2011 yang akan diterima pendeposit pada Rabu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, angka itu melibatkan pembayaran bonus sebanyak RM1.67 billion, meningkat 25% berbanding RM1.33 billion pada tahun sebelumnya.

"Walaupun Tabung Haji akan membuat pembayaran bonus pendeposit sebanyak RM1.67 billion daripada keuntungan tahun kewangan 2011, ia dilakukan dengan berhati-hati dengan keadaan persekitaran ekonomi global semasa yang masih mencabar," katanya pada sidang akhbar, di sini.

Beliau berkata kadar bonus pendeposit Tabung Haji adalah kompetitif memandangkan pelaburan Tahung Haji terhad kepada pelaburan berlandaskan syariah sahaja.

Bagaimanapun, katanya bonus itu yang merupakan peningkatan 0.5% daripada 2010 adalah lebih baik berbanding kadar pulangan akaun deposit tetap perbankan Islam.

Katanya, pendapatan Tabung Haji pada 2011 juga meningkat kepada RM2.2 billion berbanding RM2.06 billion pada tahun sebelumnya.

Sumber-sumber pendapatan Tabung Haji bagi 2011 adalah daripada pelaburan ekuiti yang menyumbang sebanyak 58%, sekuriti hutang (15%), hartanah (9%), pasaran wang (7%), pembiayaan (6%), instrumen kewangan (4%) dan lain-lain sumber ialah 1%.

Jamil Khir berkata dana pendeposit terkumpul Tabung Haji turut meningkat pada kadar 17% tahun lepas kepada RM31.7 billion berbanding RM27.11 billion pada 2010.

Tabung Haji memperuntukkan zakat perniagaan sebanyak RM44 juta berbanding RM41 juta pada tahun sebelumnya, katanya.

Jamil Khir berkata perbelanjaan operasi Tabung Haji juga terkawal walaupun terdapat peningkatan ketara akibat kenaikan kos tanggungan haji berjumlah RM105 juta bagi tahun 2011 berbanding RM65 juta pada tahun sebelumnya.

"Ini menggambarkan bahawa pelaburan Tabung Haji telah menghasilkan pulangan yang baik dan perbelanjaan operasi dapat di kawal secara berhemah," kata beliau.

Katanya, sehingga kini Tabung Haji masih memberikan subsidi kepada jemaah haji untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung mereka khususnya untuk jemaah haji kali pertama.

(sumber: Bernama)

Jangan lupa follow blog aku! Klik butang Follow di sebelah tu~!!

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca