Hati-Hati Dalam Membuat Pelaburan Emas

KUALA LUMPUR, 5 Nov — Hampir 10 ribu pelabur yang melabur di dalam empat syarikat emas di Malaysia tidak mendapat pulangan bagi tempoh lima bulan selepas membuat pembayaran, dakwa Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa agensi lain yang terlibat menyiasat skim tersebut.

Setakat siasatan ketika ini yang dijalankan oleh BNM, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat tersebut juga tidak menyimpan rekod transaksi secara baik.

Ramai rakyat Malaysia terlibat dalam pelaburan tidak berlesen sedemikian termasuk perdagangan emas bagi mencari pulangan tinggi bagi mengelak faedah rendah yang diberikan bank untuk mendapatkan pendapatan.

Namun, serbuan baru-baru ini menonjolkan beberapa perkara yang bersembunyi di sebalik perniagaan tersebut.

Pada 5 Oktober, pihak berkuasa telah melancarkan serbuan ke atas Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn Bhd dan Worldwide Far East Bhd kerana disyaki menjalankan aktiviti menerima deposit haram, pengubahan wang haram, pengelakan cukai dan memberikan maklumat palsu.

Tiga hari kemudiaan, satu lagi syarikat iaitu Genneva Malaysia Sdn Bhd turut diserbu.

Putrajaya mempercayai pelabur mungkin telah menyuntik sebanyak RM1 bilion dalam skim pelaburan emas dibawah Genneva Malaysia.

Agensi kerajaan pada hari ini mendedahkan jumlah keseluruhan emas yang dirampas semasa serbuan itu dianggarkan 142.7 kilogram berserta RM101.92 juta wang tunai dan daripada akaun bank.

Turut ditemui adalah syarikat tersebut gagal menghantar akaun untuk diaudit, manakala yang lainnya mempunyai versi rekod kewangan berbeza bagi tujuan berbeza.

“Agensi penguatkuasaan menyedari akan kesukaran dialami oleh para pelabur terbabit dan sedang berusaha bersungguh-sungguh untuk mengesan penyimpanan mana-mana wang dan aset syarikat tersebut.

“Satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk mengesan aliran wang dan aset lain. Firma perakaunan antarabangsa juga telah dilantik secara sepenuh masa untuk membantu siasatan. Skop penyiasatan adalah bersifat antarabangsa.”

Agensi siasatan tersebut juga menambah siasatan mereka juga menjurus di peringkat antarabangsa.

“Dalam hubungan ini, agensi penguatkuasaan bekerjasama secara aktif dengan rakan sejawat di luar negara untuk mendapatkan bukti di beberapa negara lain bagi membantu penyiasatan.”

Jabatan Hal Ehwal Komersil Singapura turut melakukan operasi ke atas Genneva Pte Ltd di Singapura.

Dilaporkan skim yang dikendalikan oleh Genneva menawarkan pulangan yang sangat tinggi hingga kepada 24 peratus setahun.

Syarikat-syarikat lain turut dilaporkan menawarkan skim yang hampir serupa dengan Genneva.

Dalam laporan The Malaysian Insider baru-baru ini menyentuh tentang akibat yang bakal menimpa Putrajaya terutama daripada segi politik, namun terdapat juga kebimbangan jaminan kerugian atau langkah serupa mungkin memaksa berbilion ringgit terpaksa dikeluarkan dan mungkin akan lebih parah.

(sumber: The Malaysian Insider)


Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca