Lama Dan Baru

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca semua!

Alhamdulillah, hari ini saya ingin berkongsi kepada para pembaca tentang duit syiling. YA! Hanya tentang duit syiling.

Cerita Duit Syiling

Cuba lihat pada gambar duit syiling di bawah ini.  Ada 3 keping duit syiling 50 sen dalam design yang berbeza. Bagi pengumpul duit syiling, pasti mereka mempunyai koleksi duit syiling 50 sen yang lebih lama daripada koleksi simpanan yang saya ada ini.

duit syiling, jutawan hartanah, pelaburan hartanah, pengurusan kewangan
Koleksi duit syiling 50 sen

Apa yang berbeza antara ketiga-tiga duit syiling bernilai 50 sen ini – selain daripada design duit tersebut?

“Huh, mana ada bezanya! Semuanya bernilai 50 sen!”

Jika anda kata tiada bezanya, ternyata anda semua tersilap besar!


Nilai Duit Syiling Yang Berubah

Kata ibu dan ayah saya, di zaman persekolahan antara tahun 60an hingga 70an, dengan duit syiling 50 sen ini, mereka mampu membeli a complete breakfast set berupa sebungkus nasi lemak berlaukkan sebiji telur rebus, kacang goreng, ikan bilis goreng, timun dan sambal ikan bilis, beserta dengan sebungkus air sirap. Mereka berasa sangat bersyukur sebab dengan adanya duit sebanyak ini, ia sudah cukup untuk cover perbelanjaan makan minum kita di sekolah. Jika ibu dan ayah kita menceritakan tentang fakta ini kepada cucu-cucu mereka, pasti mereka tidak akan mempercayainya, kan?

Masa telah berubah. Begitu juga dengan nilai duit syiling ini. Nilai duit syiling 50 sen ini berubah ketika di zaman persekolahan pada tahun 80an dan awal 90an – zaman persekolahan saya pula. Nilai duit syiling ini berkurangan – daripada a complete breakfast set kepada ala-carte item sahaja. Nilai duit syiling 50 sen ini pada zaman itu bersamaan dengan sebungkus nasi lemak berlaukkan suku telur rebus, ikan bilis goreng ATAU kacang goreng ATAU timun dan sambal ikan bilis. Air pula dibawa dari rumah. Kalau tidak, air paip lah menjadi sasaran kita selepas waktu rehat untuk melepaskan dahaga!

Nah, lihatlah pada design terbaru duit syiling 50 sen yang dikeluarkan oleh Bank Negara sekarang ini. Walaupun ia kelihatan seakan bersalut dengan ‘emas’, namun nilainya tidak seperti emas. Nilainya semakin susut. Anak-anak kita sekarang sudah tidak pandang kepada duit syiling ini untuk dibawa ke sekolah. Paling kurang, kita terpaksa hulurkan duit kertas bernilai RM5 ataupun RM10 untuk perbelanjaan makan minum mereka di sekolah!

Nilai matawang kita akan menyusut saban tahun. Keadaan ini pasti akan terus berlaku, bergantung kepada keadaan ekonomi sesebuah negara. Malah, mungkin nilai matawang kita akan menjadi matawang negara jiran kita, Indonesia – yang mana tiada lagi istilah ‘sen’ atau ‘puluh’ rupiah. Semuanya bermain dengan istilah ‘ribu’ dan ‘juta’!

Pentingnya Pendidikan Kewangan Dan Pelaburan

Oleh itu, sebelum nilai matawang kita terus menyusut, kita perlulah ‘menambatkan’ duit kita kepada sesuatu barangan yang nilainya tidak akan susut dalam jangka masa yang panjang. Malah, nilainya mungkin akan terus meningkat dari tahun ke tahun – seperti rumah, emas, perak dan lain-lain lagi. Tetapi ini semua memerlukan ilmu kewangan dan pelaburan yang mencukupi.

Pendidikan kewangan dan pelaburan amat penting bagi setiap individu – tidak kira tua, muda, bujang ataupun mereka yang berkeluarga. Malangnya, pendidikan yang amat penting ini tidak diajarkan di sekolah. Maka, peranan ini perlu dipikul oleh institusi kekeluargaan. Ianya bermula di rumah – dari bagaimana ibu ayah kita menguruskan kewangan dalam keluarga. Jika ibu dan ayahnya seorang yang jimat cermat dan bijak menguruskan kewangan, maka sikap ini akan mengalir kepada anak-anak. Begitu juga sebaliknya. Oleh itu, didiklah anak-anak kita untuk sentiasa bersikap jimat cermat dan bijak menguruskan wang mereka supaya mereka akan berjaya mengharungi kehidupan yang akan datang, yang mana mungkin tiada lagi kewujudan duit syiling 50 sen ini!



Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca