Dividen AS1M 6.70 Sen Seunit Bagi Tahun 2013

AHMAD Sarji (kiri) bersama Hamad Piah Che Othman menunjukan pengagihan pendapatan sebanyak 6.70 sen seunit untuk Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2013 selepas sidang media Pengumuman Pengagihan Pendapatan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) di Menara PNB di Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB), milik penuh Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2013 adalah sebanyak 6.70 sen seunit.

Pengagihan pendapatan kali keempat ini mencatatkan peningkatan sebanyak 0.10 sen seunit berbanding 6.60 sen seunit tahun lalu.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pengagihan pendapatan AS1M pada tahun ini membabitkan pembayaran sebanyak RM593.06 juta, 30.9 peratus lebih tinggi daripada jumlah pembayaran tahun lalu.

Katanya, pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan kepada purata baki pegangan minimum bulanan bagi tempoh pelaburan sepanjang tahun kewangan AS1M.

Jumlah pembayaran tersebut dijangka dimanfaatkan oleh seramai 365,355 pemegang unit yang telah melanggan sejumlah 9.28 bilion unit AS1M.

"Kadar pengagihan pendapatan AS1M ini adalah berpatutan jika dibandingkan dengan instrumen-instrumen pelaburan lain yang sesuai dijadikan perbandingan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman pengagihan pendapatan AS1M bagi tahun kewangan yang akan berakhir 30 September 2013 di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis ialah Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. - UTUSAN ONLINE

(sumber berita: Utusan)


Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca