PHB Kumpul RM2.4 Bilion Nilai Hartanah, Tumpu Pemilikan Aset


KUALA LUMPUR 22 Okt. - Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) memiliki hartanah terkumpul bernilai RM2.4 bilion sehingga Ogos 2013 dan akan terus memberi tumpuan kepada pemilikan aset komersial di bandar-bandar utama yang mampu memberi pulangan secara konsisten.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Kamalul Arifin Othman berkata, pemilikan aset di lokasi utama didapati lebih stabil dari segi pendapatan, walaupun ia berdepan dengan ragam pasaran semasa.

Menerusi Pelaburan Hartanah, PHB memperoleh aset komersial di bandar-bandar utama di Malaysia secara efektif, selain turut aktif meneroka Pembangunan Hartanah di lokasi perdana.

“Ini sekaligus dapat mempelbagai dan meningkatkan portfolio pelaburan PHB," katanya ketika ditemu bual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24.

PHB, syarikat pemegangan pelaburan hartanah, mula memiliki hartanah pada Mac 2007.

Kamalul Arifin berkata, PHB, subsidiari Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera, terlibat dalam dua pembangunan hartanah di Kuala Lumpur yang giat dijalankan ketika ini iaitu Pembangunan Komersial Lot G, KL Sentral dan Hospital Gleneagles Ampang.

Projek pembangunan bersepadu, Lot G yang terletak di salah satu lokasi paling utama di ibu negara itu terdiri daripada pusat membeli-belah tujuh tingkat bertemakan ‘gaya hidup hijau’ yang dikenali sebagai Nu Sentral dan menara pejabat 32 tingkat yang dinamakan sebagai Menara 1 Sentrum.

Nilai kasar pembangunan Lot G itu dianggar berjumlah RM1.4 bilion dan dijangka siap akhir tahun ini, katanya.

Kamalul berkata, selain daripada Pelaburan Hartanah dan Pembangunan Hartanah, PHB turut mempelbagaikan aktiviti perniagaan dengan Pembelian Tanah bagi memastikan PHB terus berkembang dan para pelabur dapat menikmati faedah secara berterusan.

Sementara itu, bagi merealisasikan objektif Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera untuk meningkatkan pemilikan aset komersial oleh Bumiputera, PHB sentiasa menggalakkan golongan itu untuk terlibat sama menerusi skim Amanah Hartanah Bumiputera (AHB). - BERNAMA

sumber: Utusan

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca