Program Rumah Transit Untuk Pasangan Muda

Program Rumah Transit,
KUALA LUMPUR – Sebanyak 632 unit rumah akan dibina di bawah Program Rumah Transit di Bukit Jalil di sini bertujuan membantu pasangan muda di ibu negara menduduki rumah sewa di ibu negara hanya pada kadar RM250 sebulan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, program tersebut merangkumi dua blok di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil.

“Program Rumah Transit pertama ini berupaya menempatkan 632 pasangan muda yang sebelum ini sukar untuk mendapatkan kediaman mampu milik di ibu kota.

“Projek ini akan beroperasi pada awal 2014 dan berrtujuan mengurangkan beban pasangan muda yang berpendapatan rendah bagi membantu mereka memulakan kehidupan berumahtangga di bandar,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman Dahlan berkata, kadar sewa rumah tersebut ditetapkan RM250 sebulan dengan setiap pasangan dibenarkan menyewa sehingga dua tahun dan mereka tidak dibenarkan menyewa rumah itu kepada orang lain.

Menurutnya, pasangan yang mahu menyertai Program Rumah Transit itu perlu mendaftar dengan Sistem Pendaftaran Terbuka (SPT) di Lembaga Perumahan Negeri atau Bahagian Perumahan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Manakala, bagi pemohon di Kuala Lumpur perlu mengemukakan permohonan di bawah SPT dilaman web E Perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sehingga kini seramai 6,000 pemohon layak untuk menjalani penilaian kelulusan mendapatkan Rumah Transit di Bukit Jalil.

Namun, kata beliau, permohonan akan disaring mengikut syarat dan kelayakan yang ditentukan iaitu warga Malaysia yang sudah berkahwin dan berusia 30 tahun ke bawah, mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan, belum memiliki rumah sendiri di Kuala Lumpur, menetap dan bekerja di Lembah Klang serta tiada rekod jenayah.

Tambah beliau, selepas saringan diperoleh dari sistem pendaftaran online yang dibangunkan ia akan dihantar ke Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tapisan seterusnya bagi memastikan hanya yang benar-benar layak menduduki rumah transit itu.

Beliau dalam pada itu memaklumkan kemudahan yang terdapat pada Program Rumah Transit di Bukit Jalil  termasuk sistem kamera litar tertutup (CCTV), pengawal keselamatan, kawasan berpagar, unit komuniti bomba, unit untuk penjagaan kanak-kanak, surau dan ruang serba guna.

Rumah Transit itu turut dilengkapi dengan kipas, lampu, lantai jubin dan kad akses lif untuk ke unit individu, katanya,

“Sebanyak dua lagi lokasi baru sudah dikenal pasti untuk program Rumah Transit iaitu di PPR Kepayan Ridge di Kota Kinabalu, Sabah dan PPR Sentul di Kuala Lumpur,” katanya.

sifu rumah lelong, jutawan hartanah, pelaburan hartanah

Blogger Hartanah & Kewangan

Blog Yang Saya Baca